nuff not enuff

Tuesday 29 January 2013

JTW 104 – PENGANTAR PENGURUSAN



1.0       Pengenalan
Laporan tugasan ini mengandungi dua bahagian dimana bahagian satu adalah merupakan kandungan mengenai tiga tokoh pemimpin dunia manakala bahagian kedua mengandungi isu mengenai pemimpin dan pengurus; definisi dan perbezaan antara kedua-duanya.
Tiga tokoh pemimpin dunia yang dimaksudkan adalah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al khattab dan Saidina Uthman Affan. Laporan ini akan mengupas latarbelakang tokoh-tokoh berkenaan, sumbangan kepada pemerintahan pada zamannya, dan pengakhiran kepada pemerintahan mereka dan pengganti mereka. Seterusnya kesimpulan kepada pemilihan mereka sebagai pemimpin yang dikagumi.
Bahagian kedua adalah berkenaan dengan perbezaan diantara pemimpin dan pengurus, pro dan kontra secara umum, ciri-ciri yang ada dan juga kesimpulan kepada kedua-duanya setelah diperbandingkan.

2.0       Bahagian I   
Tokoh-tokoh pemimpin dunia yang terkenal pada zaman khulafa’ Al-rasyidin memerintah selama 29 tahun bermula seawal 11 hijrah sehinggalah sekitar 41 hijrah. Antara khalifah-khalifah tersebut adalah saidina abu bakar, saidina umar dan saidina uthman. Masing-masing mempunyai ciri-ciri unik dan keistimewaan yang tersendiri semasa menjadi khalifah. Dengan latar belakang yang berbeza-beza, khalifah-khalifah ini mentadbir kerajaan Islam pada masa itu dengan cemerlang, sekaligus menaikkan imej dan status kerajaan Islam. Bahagian satu ini akan mengupas biodata tokoh-tokoh pemimpin Islam ini satu-persatu, sumbangan mereka dalam pentadbiran negara dan pengakhiran pemerintahan mereka dalam kerajaan yang dibentuk melalui musyawarah.


2.1       Abu Bakar As-Siddiq
Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Nabi Muhamad s.a.w. Beliau berketurunan dari bani tamim dan merupakan orang pertama memeluk Islam. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah[1]. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq[2]; kerana mengakui kebenaran Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Beliau juga terkenal kerana mempunyai sifat jujur, pekerti yang baik dan sikap yang terpuji.

2.1.1   Latarbelakang
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622M, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Beliau sebelum itu merupakan seorang saudagar yang kaya dan sanggup berkorban harta dan nyawa untuk Islam. Beliau juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Merujuk kepada gelaran as-siddiq yang diberi, apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.


2.1.2   Menjadi khalifah pertama
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.
Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membai’ahkan[3] Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membai’ahkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.
2.1.3   Polisi pentadbiran
Semasa saidina abu bakar mentadbir kerajaan sebagai khalifah yang pertama, beliau memerangi org murtad, nabi palsu dan yang enggan  membayar zakat kerana sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat adalah menafikan rukun Islam. Beliau juga menggerakkan semula tentera Usamah b Zaid utk memerangi tentera Ghassan yg membunuh utusan Rasulullah kerana beliau tidak akan merubah bendera yang telah diikat oleh Rasulullah s.a.w. selain mentaati keputusan Rasulullah s.a.w. Beliau juga melantik khalifah selepasnya bertujuan memelihara perpaduan umat islam supaya tidak timbul perselisihan untuk melantik khalifah selepasnya.

2.1.4   Sumbangan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634)M, tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.
2.1.4.1            Peperangan Islam-Riddah
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.
Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

2.1.4.2            Ekspedisi ke Utara
Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

2.1.4.3            Pengumpulan al-Quran
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

2.1.5   Kewafatan Saidina Abu Bakar   
Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634M di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru. Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.


2.2       Umar Al-Khattab
Nama sebenar beliau adalah Umar Al-khattab bin Naufal. Saidina Umar al-Khattab dilahirkan pada 581 masihi, kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar. Beliau merupakan seorang keturunan Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Bani Adi, Quraisy. Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644)M bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa’ al-Rasyidin.
Jasa dan pengaruhnya terhadap penyebaran Islam sangat besar hingga Michael H. Heart[4] menempatkannya sebagai orang paling berpengaruh nombor 51 sedunia sepanjang masa.

2.2.1   Latarbelakang
Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya bernama Khattab bin Naufal Bin Abdul Uzza dan ibunya Hantamah binti Hasyim. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.
Saidina Umar merupakan seorang pemuda yang disegani dan ditakuti pada masa itu. Perwatakkannya yang keras menyebabkan beliau mendapat gelaran “Singa Padang Pasir”. Beliau juga begitu tegas dalam membela ajaran tradisi masyarakat Quraisy pada masa itu, yang menyembah berhala serta menjaga adat-istiadat mereka. Bahkan, anak perempuannya ditanam hidup-hidup demi menjaga kehormatan agama dan kepercayaan yang dipegang.

2.2.2   Menjadi khalifah kedua
Apabila Saidina Abu Bakar Assiddiq jatuh sakit dan merasa ajalnya hampir tiba, beliau mula merasa bimbang akan berlaku perpecahan yang akan melemahkan perpaduan. Demi menyelamatkan umat Islam, beliau mengambil langkah menentukan khalifah selepasnya. Khalifah Abu Bakar berpendapat orang yang paling layak ialah Umar al-Khattab. Beliau meminta pandangan dari beberapa orang sahabat. Mereka semuanya menyatakan kelebihan Umar dan bersetuju dengan perlantikan tersebut.
Uthman Affan menulis wasiat tersebut di atas permintaan Abu Bakar as-Siddiq. Setelah selesai wasiat itu ditulis, Abu Bakar as-Siddiq meminta diperdengarkan dahulu kepadanya sebelum diumumkan kepada orang ramai. Setelah diumumkan Saidina Abu Bakar bertanya kepada orang ramai tentang persetujuan perlantikan tersebut dan orang ramai menyatakan persetujuan.

2.2.3   Polisi pentadbiran
Saidina umar telah menyusun semula pentadbiran tanah yang dikuasai oleh tentera Islam; tidak membahagikan tanah yg dikuasai tentera dalam peperangan sebagai harta “al-Ghanimah”; tidak boleh membeli tanah atau dibeli atau dimiliki ; tanah dimasukkan sebagai harta negara. Beliau juga tidak membenarkan sahabat keluar atau meninggalkan kota Madinah kecuali apabila diizinkan

2.2.4   Sumbangan Umar Al-Khattab
Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi, dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine[5]. Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.
Pada tahun 637M, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre[6] (sila rujuk lampiran 1). Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. Lima puluh tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.
Lain-lain sumbangan beliau adalah :
  1. Menyusun pentadbiran Majllis Syura
  2. Menubuhkan beberapa jabatan bagi melicinkan pentadbiran negara seperti Diwan al-Jund dan Diwan al-Kharaj
  3. Menyusun undang-undang tanah
  4. Mengisytiharkan kalender mengikut tahun
  5. Menubuhkan pasukan polis dan tentera laut

2.2.4.1            Memeluk Islam
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan Nu’aim bin Abdullah yang mengatakan bahawa adik perempuannya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca ayat-ayat Al Qur’an (surat Thoha). Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

2.2.4.2            Saidina Umar di Madinah
Saidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia merupakan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah s.a.w.. Pada tahun 625M, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.

2.2.5   Kewafatan Saidina Umar Al-Khattab
Saidina Umar wafat pada tahun 644M selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi Parsi yang bernama Abu Lukluk atau Fairuz Abu Lukluk yang menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

2.3       Uthman Affan
Saidina Uthman berasal daripada keluarga Umaiyah yang lahir pada tahun 574M dan dilantik menjadi khalifah pada tahun 644M selepas Saidina Umar al-Khattab meninggal dunia.

2.3.1   Latarbelakang
Dilahirkan 5 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad saw. Beliau berketurunan dari Bani Umayyah. Beliau juga diantara orang pertama yang memeluk Islam. Beliau diberi gelaran Zu Nuarain; kerana mengahwini dua puteri Rasulullah s.a.w. Sejak kecil lagi beliau terkenal dengan peribadi yang mulia, lemah lembut, hartawan, dermawan dan semangat jihad yang tinggi dalam mengembangkan Islam.
Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar ra. yang ditikam. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa syura yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ra.

2.3.2   Menjadi khalifah ketiga
Ketika Khalifah Umar di rawat kerana ditikam oleh Abu Lu’luah yang beragama Majusi, beberapa sahabat datang menemui beliau, mencadangkan untuk melantik pengganti. Mulanya beliau enggan tetapi setelah didesak akhirnya beliau bersetuju dan mencalonkan 6 orang sahabat terkemuka; Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidah, Az-Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman Auf.
Beliau melantik anaknya Abdullah bin Umar sebagai saksi yang layak memilih tetapi bukan dipilih. Setelah Umar wafat, mesyuarat memilih khalifah dijalankan, Talhah bin Ubaidah, Az-Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqas menarik diri. Abdul Rahman bin Auf meminta supaya beliau dibenarkan menarik diri dan menjadi pemegang amanah untuk perlantikan tersebut. Beliau telah menemui sahabat terkemuka dan orang ramai termasuk kaum wanita tentang perlantikan sebagai khalifah, termasuk Saidina Ali dan Uthman sendiri, tentang siapakah yang paling layak. Melalui jawapan mereka dan pandangan sahabat dan orang ramai maka Abdul Rahman mengistiharkan Uthman Affan sebagai khalifah, dan para sahabat melakukan bai’ah.

2.3.3   Polisi pentadbiran
Ahli sejarah telah membahagikan tempoh pemerintahan Khalifah Uthman selama 12 tahun kepada dua bahagian iaitu pertamanya zaman atau tahap keamanan dan keagungan Islam, manakala yang keduanya pula ialah tahap atau zaman “Fitnatul-Kubra” iaitu zaman fitnah.

2.3.3.1            Bidang Ketenteraan
Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.

2.3.3.2            Pembukuan Al-Quran
Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari Al-Quran. Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul pembacaannya.
Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah Al-Quran yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana Al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian Al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

2.3.3.3            Pembesaran Masjid Nabawi      
 Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.

2.3.3.4            Menyebarkan Dakwah Islam
Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf solat. Beliau juga banyak menggunakan Al-Quran dan as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.

2.3.5   Sumbangan Uthman Affan
1.    Menakluk Syria, kemudian mengangkat Mu’awiyah sebagai Gabenor.
2.    Menakluk Afrika Utara, dan mengangkat Amr bin Ash sebagai Gabenor.
3.    Menakluk daerah Arjan dan Persia.
4.    Menakluk Khurasan dan Nashabur di Iran.
5.    Memperluas Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Makkah.
6.    Membakukan dan merasmikan mushaf yang disebut Mushaf Uthmani, iaitu kitab suci Al-qur’an yang dipakai oleh seluruh umat islam seluruh dunia sekarang ini. Khalifah Uthman membuat lima salinan dari Al-quran ini dan menyebarkannya ke berbagai wilayah Islam.
7.    Setiap hari jum’at beliau memerdekakan seorang budak selama 12 tahun.


2.3.8   Kewafatan Saidina Uthman Affan        
Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf solat. Beliau juga banyak menggunakan Al-Quran dan as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum. Beliau wafat pada 18 Zulhijjah tahun 35H ketika berusia 80 tahun kerana dibunuh oleh pemberontak ketika sedang membaca al-Quran.



3.0       Bahagian II
Bahagian dua akan mengupas perbandingan diantara pemimpin dan pengurus dengan mendalam disamping meneroka maksud kedua-duanya dalam konteks yang sesuai pada masa kini. Seperti yang kita ketahui, satu teori mengatakan “leader are born not made; but manager aren’t born but they are made”[7].


3.1       Definisi pengurus
Kita pernah mendengar dari media massa tentang beberapa organisasi perniagaan khususnya, yang telah gagal bukan semata-mata kerana masalah persaingan tetapi juga disebabkan oleh pergolakan di dalam organisasi itu sendiri seperti tidak ada persefahaman antara pihak atasan dengan peringkat bawahan, perancangan dan ramalan yang tidak tepat, pembaziran sumber atau penyusunan struktur yang mengelirukan.
Pengurusan, pada amnya dapat didefinisikan seperti berikut:
1. Pengurusan sebagai proses perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi.
2. Pengurusan sebagai proses pengarahan, penyelarasan, dan pengaruh ke atas operasi organisasi untuk mencapai matlamat yang dikehendaki dan prestasi sepenuhnya.

Definisi di atas, walaupun mempunyai sedikit perbezaan dari segi bilangan dan jenis fungsi pengurusan, tetapi kedua-dua definisi itu mengandungi perkataan "proses" dan "matlamat". Ini bermakna, dua aspek penting di dalam pengurusan ialah:
1. Pengurusan sebagai proses: Menjalankan kerja secara sistematik serta memerlukan hubungan tertentu antara satu aktiviti dengan satu aktiviti yang lain.
2. Mencapai matlamat organisasi: Apabila aktiviti organisasi itu berjalan dengan teratur dan berhubung atau membantu antara satu dengan lain, maka matlamat organisasi itu dapat dicapai. Matlamat organisasi dapat berbentuk kualitatif (subjektif) atau kuantitatif (objektif).
Selain itu terdapat pelbagai definisi pengurusan yang telah dikemukakan oleh para sarjana dalam bidang pengurusan. Secara amnya pengurusan merujuk kepada proses pencapaian matlamat organisasi mengikut cara yang berkesan dan cekap. Ini dilakukan melalui proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan sumber-sumber organisasi (Daff,1997:8). Idea penting yang terkandung dalam definisi ini ialah :
(1) fungsi pengurusan ada empat iaitu perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan dan
(2) matlamat organisasi dicapai mengikut cara yang berkesan dan cekap.
Semua organisasi mempunyai orang yang bertanggungjawab untuk membantu mereka mencapai matlamat. Orang ini digelar pengurus. Peranan pengurus ialah untuk memandu organisasi kearah pencapian matlamat. Oleh kerana semua organisasi wujud untuk memenuhi tujuan-tujuan tertentu, maka, golongan pengurus bertanggungjawab untuk menggabungkan dan menggunakan sumber-sumber organisasi bagi memastikan organisasi mereka mencapai matlamat yang dikehendaki. Secara khususnya, pengurus merupakan individu yang membuat perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan ke atas sumber-sumber manusia, kewangan, fizikal dan maklumat organisasi. Memandangkan sumber manusia merupakan asset terpenting dalam sesebuah organisasi, pengurus bertanggungjawab menyelia kerja-kerja subordinatnya. Pengurus menggunakan pelbagai jenis kemahiran untuk melaksanakan peranannya. Pengurus yang gagal menjalankan fungsi-fungsi pengurusan dengan berkesan dan cekap akan menjejaskan kejayaan organisasinya.

3.1.1   Sifat-sifat seorang pengurus yang baik
Menjadi seorang pengurus, pegawai atasan ataupun manager seringkali diidam-idamkan oleh ramai orang. Sebagai seorang pengurus, kita perlu ada ciri-ciri yang baik untuk disayangi, dihormati oleh orang bawahan. Tidak ada gunanya kalau kerjaya sebagai pengurus tetapi ciri-ciri seorang pengurus yang baik tidak ada dalam diri kita. Antara ciri-ciri atau contoh-contoh menjadi seorang pengurus yang baik adalah seperti berikut:

3.1.1.1            Memberi motivasi kepada orang bawahan.
Sesuatu orgranisasi itu akan kukuh dan mempunyai momentum gerak kerja yang tinggi apabila bos mereka sentiasa memberi galakan dan juga motivasi. Bila sebut motivasi, peranan yang perlu dilakukan oleh seorang pengurus ialah seperti memberi galakan dan kata-kata semangat. Memberi teladan yang baik kepada kakitangan. Menjadi inspirasi kepada kakitangan.


3.1.1.2            Bijak mengagih-agihkan kerja
Tidak dinafikan sebagai seorang pengurus, kadang-kadang mereka mempunyai masalah dalam mengagih-agihkan kerja kepada kakitangan. Sebagai seorang pengurus, konsep ‘work smart’ digunapakai kerana yang penting sesuatu kerja itu dapat dilaksanakan menerusi pembahagian agihan yang sesuai.

3.1.1.3            Berpengetahuan dan bersikap prihatin
Seorang pengurus adalah seorang yang berpengetahuan tinggi dan tidak lekang dari sikap prihatin kepada pegawai bawahannya. Dengan ciri-ciri berilmu, maka mudahlah jika beliau ingin membantu untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan tanggungjawab dan urusan kerja yang berkaitan. Selain dari itu, kepekaan terhadap apa jua respon positif atau negatif daripada mereka adalah perlu untuk mengekalkan hubungan yang positif diantara pegawai dan pengurus.

3.1.1.4            Membenarkan kesilapan sebagai pengajaran untuk ke arah pembaikan.
Pekerja yang baik tidak semestinya melakukan kerja tanpa kesalahan. Kesalahan itu adalah perkara biasa dalam melakukan apa jua jenis pekerjaan. Sebagai seorang pengurus, kita perlu bertoleransi dengan kesalahan yang dilkakukan oleh pekerja dan membimbing mereka serta menjelaskan kepada mereka terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan terbaik untuk penambahbaikkan berkesan.

3.2       Definisi pemimpin
Pemimpin secara ringkasnya adalah seorang kepala kepada sesuatu kumpulan. Boleh juga kita panggil sebagai seorang ketua. Dalam sesuatu organisasi, pemimpin bolehlah dikatakan seorang yang mempunyai ciri-ciri sebagai ketua yang suka diikuti dan dipercayai oleh pengikutnya dan berpengaruh dalam semua segi.
Dalam satu definisi lain, pemimpin adalah salah seorang yang mengetuai atau menginspirasikan sesuatu kumpulan untuk mencapai objektif kumpulan. Bertujuan untuk mencapai objektif adalah peranan utama yang perlu dipegang oleh seorang pemimpin atau ketua.

3.2.1   Sifat-sifat seorang pemimpin yang baik
Untuk menjadi seorang pemimpin bukan setakat mempunyai kelulusan sijil, malah kekuatan dan keunikan sifat dalaman juga harus ada bagi menjadi seorang pemimpin yang baik. Bukan sekadar berpengetahuan tinggi, berkeyakinan, berketrampilan atau mempunyai kredibiliti berkomunikasi dengan baik, sifat-sifat khusus juga perlu ada seperti dibawah :
3.2.1   Mentaliti yang positif
·         Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
·         Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.

3.2.2   Kemasyarakatan
·         Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
·         Sikap positif dan terbuka.
·         Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
·         Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.


3.2.3   Moraliti
·         Mempunyai disiplin diri yang unggul.
·         Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
·         Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.

3.4       Perbezaan antara seorang pengurus dan pemimpin
Dalam sistem pengurusan, kepimpinan adalah proses yang melaksanakan fungsi-fungsi pengarahan. Apa beza seorang pemimpin dan pengurus? Kepimpinan berbeza daripada pengurusan. John Maxwel[8] menjelaskan, kepimpinan ialah sifat yang lebih menjurus kepada hal-hal perancangan strategik dan masa hadapan, manakala pengurusan pula lebih bersifat penyelesaian terhadap agenda-agenda yang sedang berlaku.
Selain itu, kepimpinan perlu wujud pada seorang ketua, manakala pengurusan pula boleh dilakukan oleh semua peringkat dalam organisasi tertakluk kepada bidang kuasa dan tahap-tahapnya. Bagi John Maxwell, tidak semua pengurus itu adalah pemimpin, tapi pemimpin perlu boleh menjadi pengurus. Organisasi boleh berjalan dengan baik dengan adanya pengurus yang cekap, tapi untuk berkembang dengan pesat, perlukan seorang pemimpin. Adakalanya, pemimpin tidak perlukan organisasi untuk punyai pengikut, berbeza dengan pengurus yang perlu organisasi khas untuk berfungsi. Menurut Tariq Suwaidan[9] (rujuk lampiran), kedua-dua unsur sama ada kepimpinan dan pengurusan adalah saling berkepentingan antara satu sama lain dalam sesebuah organisasi. Walau bagaimanapun menurut beliau, seseorang yang dianggap mempunyai daya kepimpinan yang tinggi perlu juga mempunyai kemahiran pengurusan tetapi tidak semestinya seorang pengurus perlu memiliki sifat kepimpinan yang baik.
Perbincangan antara kepimpinan dan pengurusan ini menimbulkan perdebatan yang hangat di kalangan sarjana pengurusan. Ada yang mengatakan bahawa ilmu-ilmu pengurusan boleh dipelajari sedangkan kepimpinan pula adalah bakat semula jadi seseorang yang merupakan anugerah Tuhan. Namun ada juga yang mengatakan bahawa kepimpinan boleh dipelajari sebagaimana ilmu pengurusan. Tariq Suwaidan membuat kesimpulan bahawa kepimpinan terbahagi kepada dua bentuk; pertamanya bentuk yang boleh dipelajari melalui latihan-latihan kepimpinan yang konsisten dan keduanya ialah ia merupakan bakat semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah sebagai mana bakat-bakat lain seperti kesenian dan kemahiran-kemahiran fizikal.
Namun dalam sistem pengurusan Islam, kepimpinan dilihat sebagai satu tanggungjawab yang wujud dalam diri setiap manusia. Yang berbeza ialah tahap kemampuan seseorang itu memimpin sama ada dalam skop yang sempit untuk diri dan keluarga sahaja atau dalam skop yang lebih luas. Perbezaan ini ialah selari dengan fitrah perbezaan manusia dan ia juga berkait rapat dengan proses kehidupan seseorang itu. Ini bertepatan dengan tugas setiap manusia yang menjadi khalifah di bumi Allah ini, dan bertempatan dengan hadis yang menyatakan bahawa setiap manusia adalah pemimpin, dan akan dipertanggungjawabkan ke atas pimpinannya itu.
Oleh sebab itu, seseorang yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi mungkin boleh memimpina organisasi yang besar, manakala yang tidak mempunyai daya kepimpinan yang tinggi boleh memimpin organisasi yang kecil seperti keluarga dan seumpamanya.
Selain itu, perlu diketahui juga kerana ada pendapat yang mengatakan terdapatnya perbezaan dan ada pula yang mengatakan tidak. Soalan ini mungkin terjawab bila kita meneliti tugas dan tanggungjawab kedua-duanya. Sebenarnya, menjadi seorang pemimpin bukan sekadar mengendalikan sekumpulan manusia. Mann (1965) berpendapat, pemimpin memudahkan interaksi perorangan dan hubungan dalam pekerjaan. Mereka mempromosikan penstrukturan tugas dan kerja-kerja yang perlu disiapkan. Mereka juga mengatur dan menilai kerja-kerja yang telah dan akan dilakukan. Sementara itu, tugas pengurus pula ialah merencana, menyiasat, menyelaras, menilai, menguruskan penstafan, berunding dan mewakili (Mahoney, Jerdee & Carroll, 1965, Achua; 2001). Sebenarnya kesemua fungsi-fungsi pengurusan mempunyai potensi kearah menyediakan kepimpinan, begitu juga semua aktiviti kepimpinan boleh menyumbang ke arah pengurusan. Bennis dan Nanus pula percaya asas kepada perbezaan diantara keduanya adalah terletak kepada definisi mengurus dan memimpin. Mengikut ahli-ahli teori situasi “ mengurus bermaksud, bertanggungjawab terhadap sesuatu dan mengendali. Memimpin pula melibatkan mempengaruhi; memandu arah, kelakuan, tindakan atau pendapat” (Bennis & Nanus, 1985, m.s. 21).
Pengurusan bergantung kepada kuasa sah yang rasmi untuk mempengaruhi orang lain dan ia juga memberi penekanan kepada kecekapan. Sebaliknya, kepimpinan menggunakan proses pengaruh sosial untuk mempengaruhi pengikut dan memberi fokus kepada keberkesanan. Gardner juga percaya bahawa pemimpin berfikir untuk jangka panjang, memahami hubungan kumpulannya dengan organisasi luar, mereka juga cuba menjangkau dan mempengaruhi konstituensi diluar sempadan kuasanya, memberi penekanan kepada visi, nilai dan motivasi, mempunyai kemahiran berpolitik dan selalu berfikir tentang pembaharuan (Gardner, 1990). Pemimpin tidak berpuas hati dengan status quo, sebaliknya, mereka lebih gemar memberi cabaran dan inspirasi kepada pengikut mereka semasa bekerja bersama dalam mencapai visi organisasi. Bennis dan Nanus mengatakan “dengan memberi fokus kepada visi, pemimpin tersebut beroperasi dengan menggunakan sumber emosi dan rohani organisasi, nilai-nilainya, iltizam dan aspirasi. Ini berbeza dengan pengurus yang beroperasi dengan menggunakan sumber fizikal organisasi iaitu dananya, kemahiran manusia, bahan mentah dan teknologi”(Bennis & Nanus, 1985, m.s. 92). Satu lagi perbezaan diantara kepimpinan dan pengurusan ialah kepimpinan melibatkan hubungan dengan pengikut. Ada orang yang berpendapat pemimpin dan pengikut adalah dua kategori yang sangat berbeza. Walaubagaimana pun kepimpinan dan kepengikutan adalah dua konsep yang berangkai dan keduanya mesti difahami. Tanpa pemahaman salah satunya, maka seseorang itu tidak akan dapat memahami gambaran sebenar mengenai kepimpinan (Heller & Til, 1982;Witherspoon, 1997). Sebaik-baiknya hubungan ini patut dilihat sebagai satu hubungan peranan yang ditemui dalam setiap organisasi. Witherspoon seterusnya mencadangkan pemimpin dan pengikut mempunyai peranan yang berkaitan dan saling bergantungan (Witherspoon, 1997). Hasil dari pergantungan ini, kepimpinan sebenarnya dianugerahkan oleh pengikut. Dengan itu pengikut yang baik akan menghasilkan pemimpin yang baik. Edgar Schein juga berpendapat, di dalam organisasi yang berkesan terdapat paduan diantara kepimpinan yang baik dan kepengikutan yang baik (Schein,1965).

Terdapat 5 perbezaan yang dapat kita bincangkan antara siapa itu pengurus dan siapa itu pemimpin.

3.4.1   Komunikasi
Seorang ketua akan menggunakan bentuk komunikasi sehala dan paling minima. Mereka lebih mudah memberikan arahan berbanding perbincangan yang merupakan pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin. Kurangnya komunikasi juga menjadikan perlaksanaan sesuatu pekerjaan itu tiada kesepakatan serta tidak bersama-sama. Komunikasi yang berkesan oleh seorang pemimpin pula akan mampu menjana rasa bersama mereka yang dipimpin dan memudahkan perhubungan di dalam sesuatu organisasi.

3.4.2   Kejujuran dan keikhlasan
Seorang pemimpin akan sentiasa mementingkan keikhlasan dan kejujuran di dalam melaksanakan tugas bersama. Pengurus pula lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu atas dasar tugas semata-mata dan tidak mementingkan soal perasaan serta keutamaan kejujuran di dalam tindakan mereka. Kadangkala, seorang pengurus lebih mementingkan kejayaan peribadi berbanding memikirkan kebajikan orang dibawahnya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melebihkan orang yang dipimpinnya berbanding dirinya sendiri.

3.4.3   Inisiatif
Pengurus seringkali mengharapkan orang bawahan mereka untuk melakukan kerja lebih daripada kemampuan mereka tetapi mereka sendiri sering ingin melepaskan diri. Ada juga dikalangan mereka yang hanya menunggu arahan dari orang atasan tanpa bersikap proaktif dalam mendepani permasalahan yang ada. Prinsip bagi seorang pemimpin adalah melakukan apa yang termampu dalam diri mereka. Bukanlah semata-mata melakukan apa yang disuruh atau memenuhi semua permintaan tanpa memikirkan keupayaan pasukannya. Selalu bersikap proaktif menangani sebarang masalah dan halangan dalam tugasan yang diberikan.

3.4.4   Bersemangat
Bagi seorang pemimpin, mereka melakukan tugasan mereka dalam keadaan yang sentiasa bersungguh-sungguh. Bukan hanya tatkala ada orang yang memerhatikan mereka. Pemimpin sentiasa menjadikan kerja atau tugasan itu bersama dan amanah yang mesti dilaksanakan dalam cara yang paling baik. Berbeza pula keadaannya dengan seorang pengurus, keutamaannya adalah memastikan orang atasan atau sesiapa sahaja yang melihat mereka bekerja berpuashati dan menerima pujian. Semangat mereka adalah terhadap pujian dan balasan yang diterima bukan pada kesungguhan melaksanakan amanah.

3.4.5   Membimbing
Perbezaan yang paling ketara antara keduanya adalah dari sudut membimbing orang bawahannya. Bagi seorang pengurus, hanya perintah atau suruhan sahaja yang ada di dalam kamus berorganisasinya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melihat orang dibawahnya harus dipimpin dan diberikan peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri. Keutamaan dalam membimbing ini akan menghasilkan pekerja yang sentiasa positif terhadap tugas dan peranan mereka. Jika dibandingkan dengan mereka yang hanya disuruh dan tidak dibimbing bahkan sentiasa dimarahi.


4.0       Kesimpulan
Disini dapatlah disimpulkan bahawa tokoh-tokoh pemimpin yang hebat pada zaman khulafa’ al rasyidin adalah tergolong antara pemimpin-pemimpin dunia yang amat disegani. Kewibawaan mereka dalam mentadbir kerajaan, menguruskan sumber manusia secara amnya, menguruskan politik dan sosial amatlah dikagumi. Meluaskan kawasan penjajahan, memerangi kemiskinan, kepalsuan dan meletakkan allah s.w.t sebagai sumber rujukan dalam mentadbir alam dimana maksud khulafa itu sendiri adalah orang yang memegang ketua negara Islam.
Selain daripada itu, ciri-ciri kepimpinan khulafa adalah sentiasa mendampingi dan mendapat didikan Rasulullah, sebagai sumber rujukan umat Islam, golongan terpilih lagi bijaksana, berilmu, amanah, adil berani, tawaddu’, ikhlas dan berpendirian tegas, Rakyat dilayan sama rata , tiada pengawal peribadi, kehidupan mereka sederhana dan lebih mengutamakan akhirat dari dunia, rakyat berpeluang menyuarakan pandangan dan akhir sekali memberi sumbangan harta peribadi untuk menegakkan Islam.
Secara ringkasnya, pemimpin Islam merupakan contoh terbaik dalam mentadbir dan mencorakkan negara mengikut acuan yang disukai dan dipersetujui Allah s.w.t., maka kerana itulah kumpulan kami memilih mereka.


5.0       Rujukan
Abdul Razak Ibrahim, Aini Sulaiman universiti Malaya. Gelagat Organisasi Edisi Kelapan, Edisi Bahasa Malaysia. Penterjemah & Penyunting Stepen P Robbins,

Aini Hayati, Faridahwatie Mohd Shamsudin, Hasni Che Ismail, Lim Kong Teong, Mohamad Basir Saud, Nasarudin Zainudin, Norsiah Mat, Nurli Yaakob (2002) Siri Teks STPM Pengajian Perniagaan 1 cetakan kedua : Pearson Malaysia Sdn Bhd.

Muhammad Ridha Penterjemah Ibnu Ghazali(2002). Kisah Abu Bakar As-Sidiq khalifah As-Sidiq Cetakan Pertama : Jasman Enterprise.

Mohd said Ishak (2000) Umar ibn al-khatab perlaksanan hukum islam : Cetakan Ratu Sdn Bhd Edisi Pertama.

Ahmad Sufyan Che Abdullah (2006) "Kepimpinan Islam Dalam Tuntutan Era Globalisasi", dalam Dimensi Pengurusan Islam: Mengurus Kerja dan Mengurus Modal Insan : (Suntingan: Ab Mumin Ab Ghani, Fadillah Mansor), Penerbit Universiti Malaya: Kuala Lumpur

" Perang Yamamah"

http://surautaalim.blogspot.com/2010/02/kisah-perang-dan-perjuangan-para.html


 " Saidina Abu Bakar As-Siddiq"
            http://www.pamiesz.com/2008/01/saidina-abu-bakar-as-siddiq.html

 "Umar Al-Khattab"
            http://ms.wikipedia.org/wiki/Umar_Al-Khattab

"Uthman Affan"
            http://en.wikipedia.org/wiki/Uthman_ibn_Affan

 "sumbangan khulafa al rasyidin"

 “Gereja Holy Sepulchre”
http://www.sacred-destinations.com/israel/jerusalem-holy-sepulchre-photos/slides/exterior-from-above-c-torie-p.jpg
“Tareq_Al-Suwaidan”


6.0       Lampiran

Gereja Holy Sepulchre di Baitul Maqdis, Israel

Tariq Suwaidan


[1] Abdul kaabah – hamba kaabah
[2] Maksud as-sidiq – yang membenarkan
[3] bermakna memberikan ikrar atau janji setia atau persetiaan.
[4] Michael H. Hart (dilahirkan pada April 28, 1932 di bandar New York) merupakan seorang "astrophysicist" dan telah menulis 3 buah buku tentang sejarah and artikel kontroversi berkenaan berbagai tajuk.
[5] Rom Timur
[6] Gereja Makam Suci - Gereja ini adalah gereja Kristian yang terletak dalam tembok Kota Lama yang terkenal dengan Baitul Maqdis yang merupakan tempat di mana nabi Isa a.s. pernah tinggal. Gereja Makam Suci juga sering dirujuk sebagai Gereja Kebangkitan.
[7] pemimpin dilahirkan bukan dicipta tetapi pengurus boleh dicipta
[8] “Developing the Leader Within You” , John C. Maxwell, 2000
[9] Dr Tariq Mohammed Al-Suwaidan (lahir November 15, 1953) adalah seorang usahawan Kuwait, pengarang Islam, speaker dan pengarah Alresalah arabsat TV saluran serta pemimpin Ikhwan Muslimin Kuwati.

No comments:

Post a Comment